Jangan terlalu mengharap pada bantuan kerajaan

Posted: March 21, 2012 in Artikal
Tags:

ISLAM menganjurkan kita untuk berusaha dan mencari nafkah apa saja bentuknya, selama ianya halal dan baik, tidak ada syubhat, tidak ada keharaman, dan tidak dengan meminta-minta. Kita juga disunnahkan untuk ta’affuf (memelihara diri dari minta-minta), sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam dalam Surah Al Baqarah ayat 273 yang tafsir-Nya :

“(Sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir yang telah mengikat diri mereka untuk semata-mata berjihad pada jalan Allah, mereka tidak dapat mencari rezeki di muka bumi (seperti menjalankan perniagaan dan sebagainya kerana kesibukkan mereka berjuang mempertahankan agama Allah). Orang yang tidak mengetahui (hal keadaan mereka) menyangka mereka itu orang kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau dapat mengenal mereka dari sifat-sifat dan keadaan mereka. Mereka itu juga tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan apa jua harta yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.”

Seperti yang kita ketahui perbuatan memintaminta tanpa hajat darurat yang dibolehkan Islam hukumnya adalah haram. Walau bagaimanapun, hukumnya menjadi harus jika kita dalam kefakiran, atau seseorang yang lapar meminta makanan untuk mengisi perutnya kerana dia bimbang jika tidak makan dengan segera, mungkin dia akan jatuh sakit atau mati. Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian, terpaksa meminta pakaian bagi menutup auratnya. Hal seperti ini mengharuskan seseorang itu meminta kepada orang lain selama mana peminta itu tidak berkuasa atau mampu membuat sebarang pekerjaan untuk menyara keperluannya.

Namun begitu, ianya tetap terdapat batas-batas yang perlu diikuti. Tidak boleh bagi seseorang itu sering meminta-minta sehingga terlalu mengharap kepada bantuan orang lain. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukahri dan Muslim, yang menceritakan berkenaan Hakim bin Hizam yang sering meminta-minta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Setiap kali dia meminta kepada Rasulullah, Baginda akan memberikannya. Namun setelah tiga kali dia datang meminta, Baginda bersabda: “Wahai Hakim! Sesungguhnya harta itu indah dan manis. Barang siapa yang mengambil harta di dunia dengan hati yang lapang yakni tidak bercampur dengan sifat ketamakan, nescaya akan dilimpahkan keberkatan dalam hartanya itu. Tapi barang siapa yang mengambil harta di dunia dengan ketamakan( mengharap-harap harta), pasti tidak ada keberkatan dalam harta yang diperolehinya itu. Orang yang sedemikian ini adalah ibarat orang yang makan tetapi ia tidak kenyang (kerana tidak ada berkah padanya. Tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang meminta)”.

Setelah Hakim mendengar akan teguran dan nasihat Rasulullah berkenaan sikapnya yang suka meminta-minta, sejak dari itu dia tidak lagi meminta-minta kepada sesiapa pun meskipun dia berada dalam kekurangan.

Inilah sikap terpuji yang patut dicontohi oleh kita semua. Janganlah kita menjadikan sebab kekurangan hasil pendapatan sebagai alasan untuk meminta-minta bantuan terutamanya kepada pihak kerajaan semata-mata bagi memenuhi keperluan hidup yang tidak mencukupi.

Dalam sebuah lagi hadis lain yang diriwayatkan Imam Bukhari menceritakan pada suatu hari datang seorang lelaki menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk meminta sedekah.

Rasulullah menyuruh lelaki berkenaan menunggu sekejap dan Baginda masuk ke dalam rumah. Selepas keluar semula, Rasulullah menghulurkan sebilah kapak kepada lelaki itu sambil memintanya pergi berusaha mencari kayu untuk dijual di pasar. Dikisahkan sebelum lelaki itu pergi, Rasulullah berpesan kepadanya agar dua tiga hari lagi datang semula menemui baginda. Apakah yang berlaku kemudian? Selang beberapa hari, lelaki itu datang menemui Rasulullah dan mengkhabarkan berita gembira yang dia berhasil menjadi seorang peniaga kayu.

Inilah dorongan dan motivasi Rasulullah kepada umatnya agar tidak meminta-minta, sebaliknya berusaha terlebih dahulu untuk mendapatkan rezeki untuk penghidupan di dunia.

Dari peristiwa-peritiwa yang disampaikan melalui hadis di atas menunjukkan tentang bolehnya meminta kepada orang lain atau penguasa. Tetapi janganlah terlalu mengharapkan kepada bantuan orang lain terutamanya pihak kerajaan semata-mata tanpa berusaha. Sebaliknya beruashalah terlebih dahulu untuk mendapatkan rezeki dengan titik peluh sendiri kerana itu adalah lebih mulia daripada meinta-minta. Ingatlah pesan Rasulullah bahawa orang yang bekerja mencari rezeki itu walaupun hasilnya hanya sedikit, itu adalah lebih baik daripada perbuatan meminta-minta. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari, dari Az Zubair bin al Awwam, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : “Sekiranya salah seorang daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian dia pikul kayu tersebut ke pasar untuk menjualnya demi menjaga kehormatannya, nescaya yang demikian itu adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik diberi mahupun ditolak.”

Dari hadis di atas jelas kepada kita, orang yang berusaha atau bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri untuk memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri, keluraga dan masyarakat itu lebih mulia daripada orang yang malas bekerja (penganggur) atau meminta-minta daripada orang lain.

Sebagai rakyat Brunei kita semua sangat beruntung dan sepatutnya bersyukur kerana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa mengambil berat dan prihatin akan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan khususnya mereka yang tergolong sebagai fakir dan miskin tidak terlepas pandang daripada mendapat perhatian dan diberikan bantuan mengikut keperluan mereka oleh Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Namun apa yang menyedihkan pada masa ini berdasarkan kajian kemiskinan di Negara Brunei Darussalam telah mendapati bahawa dengan bantuan kebajikan yang ada pada masa ini, penduduk miskin di negara ini sangat bergantung dan berharap kepada bantuan pihak kerajaan.

Mereka yang menerima bantuan ini menggunakan sumber bantuan atau wang bantuan yang diberikan dengan sesuka hati serta boros tanpa memikirkan untuk menabung bagi keperluan pada masa depan kerana beranggapan bantuan akan sentiasa datang membantu mereka. Di samping itu banyak penerima- penerima, yang mendapat sumber bantuan atau wang bantuan ini kurang bermotivasi untuk mendapatkan pekerjaan dan tidak memiliki inisiatif untuk meningkatkan kemampuan diri. Mereka beranggapan bantuan yang mereka terima sudah mencukupi untuk menampung kehidupan mereka seharian tanpa perlu berkerja. Sikap masyarakat yang terlalu bergantung dan mengharapkan bantuan kerajaan ini akan mewujudkan satu masyarakat yang kurang produktif kepada pembangunan sosioekonomi negara. Malah perbuatan meminta-minta mencerminkan sikap yang negatif masyarakat kerana sentiasa bergantung ihsan dan bantuan daripada orang ramai atau pihak tertentu.

Justeru itu umat Islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta kerana perbuatan meminta-minta tanpa sebab itu menjatuhkan maruah serta menjejaskan imejnya. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa bersyukur, sabar dan reda dengan pemberian Allah.

Para penerima sumber bantuan atau wang bantuan juga dinasihatkan supaya dapat menanamkan sikap berdikari, bantu diri dan bertanggungjawab tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan kerana sikap seumpamanya adalah lebih mulia di sisi agama Islam.

Sumber: Pelita Brunei keluaran 23 Mac 2012

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s