Bertudung: Dosa atau Pahala

Posted: May 14, 2012 in Hukum Hakam, Tazkirah
Tags: , , ,

Tidak memakai cemara atau sanggul yang tinggi

TERDAPATsegelintir wanita yang bertudung dengan memakai sanggul palsu. Tujuannya agar kelihatan lebih cantik berbanding tidak memakainya.

Perlu diketahui bahawa memakai sanggul yang terlalu menonjol merupakan antara perkara yang dilarang melakukannya. Larangan tersebut sangat keras sehingga dinyatakan bahawa seorang wanita yang melakukannnya tidak akan masuk syurga hatta menghidu bau syurga. Padahal bau syurga itu boleh dihidu dari jarak yang sangat jauh. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan perkara tersebut dalam sabda Baginda:

Maksudnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).” (Hadits riwayat Muslim)

Memakai cemara itu termasuk memakai rambut tambahan, samada daripada rambut lain atau bukan daripada rambut seperti nilon atau lain-lain yang digunakan untuk membesarkan sanggul.

Selain larangan memakai cemara, menyambung rambut juga termasuk perkara yang dilarang meskipun lengkap memakai tudung. Memakai rambut tambahan atau menyambung rambut dihukumkan haram bagi perempuan dan juga lelaki.

Allah Subhanahu Wata‘ala melaknat orang yang memakai rambut tambahan sekalipun orang itu adalah perempuan yang rambutnya gugur kerana sakit atau perempuan yang hendak menjadi pengantin. Hukum tersebut adalah berdasarkan kepada hadits shahih, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya: “Seorang perempuan telah datang (bertanya) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dia berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya anak saya yang akan melangsungkan perkahwinan telah terkena suatu penyakit sehingga rambutnya gugur, apakah boleh saya menyambung rambutnya?” Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya” Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ashab (‘ulama-‘ulama asy-Syafi‘i) dalam menghuraikan hadits di atas mengatakan bahawa tiada perbezaan pendapat ‘ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.

Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan haram juga disambung dengannya.

Tudung tidak mengandungi gambar atau lukisan objek yang bernyawa atau lambang yang diharamkan

Islam melarang menggunakan kain, selimut, langsir yang terdapat padanya lukisan atau gambar sesuatu yang bernyawa seperti gambar atau lukisan manusia atau haiwan. Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya: “Sewaktu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran, pada ketika itu aku telah memasang tabir pada pintuku, tabir bulu yang ada padanya gambar kuda yang mempunyai beberapa sayap, maka Baginda memerintahkanku (agar aku menanggalkannya) lalu aku pun menanggalkannya (daripada pintu itu).” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, menggunakan tudung yang terdapat padanya gambar manusia atau binatang juga adalah dilarang.

Orang Islam juga dilarang memakai tudung yang memaparkan gambar-gambar seperti imej atau tulisan jenama tertentu seperti jenama minuman keras atau memaparkan lambanglambang agama lain. Sebagai contoh, haram memakai tudung yang memaparkan lambang salib. Salib termasuk symbol atau lambang yang dipakai khas bagi orang Nashrani.

Larangan tersebut adalah mengelakkan diri kita dari terlibat dalam mempromosi imej dan jenama-jenama berkenaan dan menghindari diri kita dari menyerupai orang-orang bukan Islam kerana memakai lambang-lambang tersebut. Larangan ini disebut dengan jelas oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai/ meniru sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka” (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam al-Munawi dan al-‘Alqami Rahimahullahu Ta‘ala sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abu Daud, maksud tasyabbuh (penyerupaan) dengan sesuatu kaum itu ialah berkelakuan dengan tingkah laku mereka, termasuk pakaian dan sebahagian perbuatan mereka.

Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa larangan tasyabbuh (penyerupaan) terhadap sesuatu kaum itu juga dalam berpakaian. Ini bermakna, tasyabbuh dalam pemakaian tudung juga merupakan larangan.

Sementara memakai tudung yang terdapat padanya lukisan atau gambar sesuatu yang tidak bernyawa seperti gambar atau lukisan pokok, sungai, gunung-ganang dan seumpamanya adalah tidak mengapa dan harus.

Tidak melampau atau berlebih- lebihan

Perbuatan berlebih-lebihan boleh sahaja mengubah fungsi tudung yang pada asalnya digunakan untuk menutup aurat kepada perhiasan untuk mencantikkan diri dan menjadi tarikan kepada orang yang melihatnya.

Selain itu, berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara termasuk bertudung kadang-kadang akan menimbulkan perkara-perkara negatif yang dilarang orang Islam melakukannya antaranya membazir.

Pembaziran boleh berlaku jika seseorang itu berlebih-lebihan dalam pemakaian tudung. Sikap berlebih-lebihan ini didorong oleh nafsu keinginan untuk kelihatan cantik dan menarik atau keinginan untuk bermegah dan menunjuk-nunjuk. Seseorang sanggup membeli tudung dan aksesori tudung yang terlalu mahal dan terlalu banyak sehingga melebihi had yang sepatutnya demi memastikan penampilannya kelihatan menarik dan sentiasa mengikut tren terkini.

Umat Islam sangat dilarang dari melakukan perbuatan membazir dan berlebih-lebihan sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata‘ala:

Tafsirnya: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.” (Surah al-Israa’: 26)

Dari penjelasan ini, sayugia disarankan kepada setiap wanita Islam khususnya untuk mengetahui, memahami dan seterusnya mengikuti konsep bertudung yang dikehendaki oleh syara‘.

Wanita Islam perlu berhati-hati dalam memilih pakaian dan tudung memandangkan terdapat juga fesyen yang pada zahirnya nampak Islamik tetapi sebenarnya tidak menepati kehendak syara‘ dan maksud menutup aurat.

Begitu juga jangan memakai tudung tetapi dalam masa yang sama mengenakan pakaian sendat, baju lengan pendek, kain berbelah, seluar yang masih juga menampakkan bahagian aurat atau yang seumpamanya. Cara sedemikian ini masih sahaja tidak menepati hukum menutup aurat.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s