Beberapa Persoalan Niat Puasa Ramadhan

Posted: July 19, 2012 in Tazkirah
Tags: , , , ,

Esuk atau lusa kita di Negara Brunei Darussalam akan memulakan ibadah Puasa Ramadhan. Puasa pada bulan Ramadhan adalah rukun Islam yang keempat yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang telah cukup syarat-syaratnya. Puasa ialah menahan diri dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari. Namun bagi mencapai kesempurnaan berpuasa kita hendaklah juga memelihara telinga, mata, lidah, tangan dan kaki serta anggota badan yang lain dari melakukan segala perbuatan maksiat.

Niat Puasa Ramadhan

Dalam ibadat puasa, niat merupakan salah satu rukun puasa. Oleh itu, mereka yang hendak mengerjakan puasa diwajibkan berniat, sama ada puasa yang wajib, seperti puasa Ramadhan, mahupun puasa sunat. Walau bagaimanapun niat puasa sunat itu boleh dilakukan pada waktu siang hari dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah dan yang membatalkan puasa seperti makan, minum, bersetubuh dan sebagainya.

Niat puasa Ramadhan pula wajib dilakukan pada tiap-tiap malam berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shadiq, maka tidak ada puasa baginya.” (Hadits riwayat al-Baihaqi dan ad-Daruquthni)

Memandangkan niat merupakan salah satu rukun dalam ibadat puasa dan wajib dilakukan pada setiap hari pada waktu malam, maka mereka yang disebutkan di bawah ini juga tidak terkecuali disyaratkan untuk berniat pada malam hari jika mereka hendak mengerjakan puasa Ramadhan, iaitu:

1) Kanak-kanak yang mumayyiz, iaitu kanakkanak yang boleh membezakan antara yang buruk dan baik. Pada asalnya dia tidak diwajibkan berpuasa akan tetapi jika dia berniat pada malam hari, maka sah puasa yang dikerjakannya itu.

2) Perempuan yang sedang haidh atau nifas. Jika dia berniat pada malam hari untuk melaksanakan puasa pada keesokan harinya dalam keadaannya masih belum kering darah haidh atau nifas, lalu pada malam hari sebelum terbit fajar darahnya itu kering, maka sah puasanya dengan niat tersebut.

3) Orang yang berjunub pada malam hari. Jika dia berniat pada malam hari untuk melaksanakan puasa pada keesokan harinya, maka sah puasanya dengan niat tersebut walaupun dia masih dalam keadaan berjunub dan belum mengangkat hadas besar dengan mandi wajib.

Lafaz Niat Puasa Ramadhan

Contoh lafaz niat puasa setiap malam ialah:

ertinya : Sahaja aku berpuasa esok hari bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

Beberapa Permasalahan Niat

Untuk memastikan puasa Ramadan yang dikerjakan itu sah dan mencapai kesempurnaan, maka perlu diberi perhatian kepada rukun puasa antaranya perkara yang berkaitan dengan niat. Hendaklah dipastikan bahawa niat dilakukan dalam had masa yang ditetapkan, iaitu pada waktu malam setelah terbenam matahari sehingga terbit fajar.

Berikut dibawakan beberapa persoalan yang berkaitan dengan niat pada malam hari:

1) Niat puasa Ramadhan yang dilakukan sebelum terbenam matahari atau selepas terbit fajar, walaupun cuma sedetik, adalah terkeluar daripada waktunya yang telah ditetapkan. Oleh itu, niat tersebut adalah tidak sah tanpa ada perselisihan ulama dalam perkara ini. Begitu juga dengan niat yang dilakukan seiringan dengan terbit fajar adalah tidak sah niat puasa tersebut.

2) Seseorang yang berniat dan dalam masa yang sama (pada ketika dia berniat itu) dia merasa syak sama ada fajar telah terbit ataupun belum, maka tidak sah niatnya itu yang mengakibatkan puasanya juga tidak sah.

Berbeza hukumnya jika dia telah berniat kemudian baru timbul syak apakah semasa dia berniat itu sudah terbit fajar atau belum, maka dalam keadaan ini niatnya itu adalah sah.

3) Jika seseorang itu telah berniat pada waktu malam untuk berpuasa pada keesokan harinya, kemudian dia membatalkan niatnya pada malam itu juga sebelum terbit fajar, maka niatnya yang awal tadi telah terbatal. Dalam keadaan ini, perkara yang perlu dilakukannya ialah wajib dia berniat sekali lagi sebelum terbit fajar untuk mengerjakan puasa.

Berbeza hukumnya jika dia membatalkan niat puasanya pada siang hari Ramadhan, maka perkara ini tidak menjejaskan dan membatalkan puasanya selama mana tidak diiringi dengan perbuatan yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan sebagainya.

4) Jika seseorang terlupa berniat pada malam hari, maka tidak sah puasanya dan wajib diqadha puasa tersebut pada hari lain di luar bulan Ramadhan, melainkan jika dia telah berniat berpuasa sebulan Ramadhan pada hari pertama puasa, dengan bertaqlid kepada pendapat mazhab Maliki.

Bolehkah Berniat Sebulan Puasa Ramadhan? Menurut pendapat mazhab Maliki, niat puasa itu harus dilakukan sekali sahaja bagi ibadah-ibadah puasa yang dikerjakan secara berturut-turut, umpamanya puasa sebulan Ramadhan.

Menurut mazhab Maliki, jika seseorang itu telah berniat puasa sebulan, lalu dia lupa untuk berniat pada salah satu malam dalam bulan Ramadhan, maka niat sebulan ini boleh menampung niat pada malam yang dia terlupa berniat itu. Berniat sebulan dilakukan sebagai langkah berhati-hati dan menghindarkan diri daripada terluput mengerjakan puasa Ramadhan disebabkan lupa berniat pada malam hari. Bahkan sesetengah ulama mengatakan adalah digalakkan untuk berniat sebulan ini. Di samping itu, kita tetap dituntut berniat pada setiap malam. Tuntutan berniat setiap malam ini juga bertepatan dengan satu pendapat dalam mazhab Maliki sendiri bahawa niat puasa itu wajib dilakukan pada tiap-tiap malam bagi puasa yang wajib dikerjakan berturut-turut, umpamanya puasa Ramadhan.

Contoh lafaz niat puasa sebulan itu ialah

Ertinya: “Sahaja aku puasa bulan Ramadhan seluruhnya pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.”

Namun begitu, mengenai berniat sebulan ini terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui agar ibadat yang dikerjakan itu sah dan sempurna menurut hukum syarak, antaranya niat puasa sebulan itu dilakukan pada awal bulan Ramadhan, iaitu pada malam pertama Ramadhan. Selain itu, perkara yang utama dan penting difahami ialah menurut mazhab Maliki, jika puasa yang wajib dilakukan secara berturut-turut itu, seperti puasa Ramadhan, terputus oleh sesuatu sebab, sama ada sebab yang dibenarkan oleh syara‘ ataupun tidak, maka niat sebulan puasa itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya. Dengan kata lain tidak lagi boleh dipakai niat sebulan itu. Bahkan, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut. Dalam makna yang lain, berniat sekali lagi dan memadai dengan sekali niat bagi semua hari-hari puasa yang berbaki.

Sebab-sebab yang dikategorikan sebagai penghalang daripada puasa secara berturutan, sama ada sebab yang dibenarkan oleh syara‘ ataupun tidak, adalah seperti berikut:

1) Berlaku sesuatu yang mengharuskan seseorang itu tidak berpuasa, seperti sakit atau dalam pelayaran, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka puasa).

Oleh itu, orang yang berniat puasa sebulan jika berlaku sesuatu yang mengharuskannya tidak berpuasa, maka niat puasa sebulannya itu tidak lagi memadai (tidak boleh lagi dipakai) untuk hari-hari puasanya yang seterusnya, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka) dalam keadaannya sakit, dalam pelayaran atau sebagainya.

Khusus bagi orang yang mengalami situasi seperti ini, jika dia hendak berpuasa juga dalam keadaannya sakit atau dalam pelayaran atau sebagainya, hendaklah dia berniat puasa pada tiap-tiap malam.

2) Berlaku sesuatu yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifas, gila, pengsan dan sebagainya.

Jika berlaku ke atas seseorang perkara di atas yang membatalkan puasa, maka niat puasa sebulannya itu tidak boleh lagi dipakai untuk hari-hari puasanya yang seterusnya.

3) Berbuka puasa atau tidak berpuasa tanpa ada sebab yang dibenarkan oleh syara‘.

Ini kerana ibadat puasa orang-orang seperti yang disebutkan di atas tidak lagi termasuk di dalam kategori puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut yang menjadi syarat dalam mazhab Maliki bagi berniat sebulan itu.

Sebagai kesimpulan, niat puasa Ramadhan itu wajib dilakukan pada tiap-tiap malam. Untuk memastikan ibadat puasa Ramadhan itu sah, maka niat itu hendaklah dilakukan dalam had masa yang ditetapkan, iaitu setelah terbenam matahari sehingga terbit fajar. Sesiapa yang terlupa berniat pada malam hari, maka puasanya tidak sah dan wajib diqadha pada hari yang lain di luar bulan Ramadhan. Sebagai langkah berhati-hati ditakuti terluput puasa Ramadhan kerana terlupa berniat di malam hari, maka digalakkan juga untuk berniat puasa sebulan pada hari pertama puasa sepertimana niat dalam mazhab Maliki, dengan memberi perhatian kepada syarat-syarat lain yang telah ditentukan oleh mazhab ini berkaitan dengan niat puasa dan perkara yang memutuskan niat sebulan itu. Perlu juga diambil perhatian bahawa jika timbul syak sama ada niat dilakukan sebelum atau selepas terbit fajar, maka perkara ini boleh menjejaskan ibadat puasa seseorang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s