Dipenghujung Ramadhan

Posted: August 17, 2012 in Tazkirah
Tags: ,

Hari ini merupakan jumaat yang terakhir bagi bulan Ramadhan pada tahun ini 1433H/2012M, ini bermakna hanya tinggal 2 atau 3 hari lagi kita akan meninggalkan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan. Sementara kita masih lagi berada di dalam bulan ini marilah kita merebut peluang yang masih ada dengan mempertingkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala antaranya dengan melipatgandakan amalan membaca Al-Qur’an walaupun mungkin ada di antara kita yang telah pun khatam membacanya pada bulan ini, kita juga hendaklah tidak meninggalkan sembahyang sunat terawih kerana sembahyang sunat yang istimewa ini hanya dapat dikerjakan dalam bulan Ramadhan. Marilah kita juga memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain seperti sembahyang-sembahyang sunat, Qiamulail, zikir dan doa-doa, lebih-lebih lagi pada masa ini kita masih berkesempatan untuk merebut peluang bagi mendapatkan kelebihan Lailatul Qadar.

Dengan berakhirnya Ramadhan yang mulia ini, ini bermakna umat Islam akan meraikan kedatangan bulan Syawal iaitu Hari Raya AidilFitri. Tentunya kita selaku umat Islam merasa gembira menyambut kedatangannya. Pada masa ini tidak dapat dinafikan sebahagian besar di antara kita pasti sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidil Fitri. Apa yang perlu diingat kita hendaklah sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam persiapan menyambut Hari Raya, tidak berlebih-lebihan atau bertujuan untuk bermegah-megah sehingga membawa kepada sifat ria’. Oleh itu amalkanlah sifat berjimat cermat dalam berbelanja dan elakkanlah pembaziran. Allah Subhanahu Wata’ala mengingatkan bahawa orang-orang yang membazir itu adalah bersaudara dengan syaitan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Israa’ ayat 26-27 tafsirnya:

“Dan berikanlah kepada kerabat-kerabatmu dan orang-orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan pula adalah mahluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya”.

Sebenarnya tujuan kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri adalah untuk meraikan kejayaan kita yang telah berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan. Dalam hal ini Islam mengariskan panduan tentang cara kita meraikan Hari Raya agar semua yang kita disunatkan menghidupkannya dengan memuji kebesaran Allah Subhanahu Wata�ala dengan melaungkan kalimah-kalimah takbir, tahmid, tasbih dan sebagainya.

Pada setiap kali tibanya malam raya, seruan takbir akan berkumandang di masjid-masjid, rumah-rumah persendirian, di corong-corong radio dan juga kaca televisyen. Dengan bergemanya takbir itu, maka terasalah kemeriahan suasana Hari Raya. Inilah cara sambutan Hari Raya yang sebenar dan menepati ajaran Islam, iaitu bagi melahirkan rasa kesyukuran atas kebesaran serta keagungan Allah Subhanahu Wata’ala, sesuatu dengan maksud takbir iaitu membesarkan dan mengagungkan Allah Subhanahu Wata’ala.

Takbir pada Hari Raya Aidil Fitri dinamakan takbir Mursal atau Mutlak iaitu takbir yang tidak terikat waktunya selepas mengerjakan sembahyang. Takbir Hari Raya Aidil Fitri sunat dilaungkan pada bila-bila masa sahaja sebagaimana menurut Imam Ibni Hurairah Radiallah ia berkata: Sunat melaungkan takbir Hari Raya Aidil Fitri samada di rumah-rumah, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di pasar-pasar dengan suara jahar iaitu suara yang jelas dan nyaring, bermula dari terbenam matahari pada malam Hari Raya dan berterusan sehingga Imam mengangkat takbiratulikhram pada sembahyang Hari Raya. Ini kerana takbir adalah sebagai syiar bagi menandakan waktu Aidil Fitri itu tiba, maka adalah lebih utama Aidil Fitri itu disambut dengan takbir.

Menurut Assyabara Malisi Rahmatullah, apabila bertepatan malam Hari Raya itu dengan malam jumaat, maka hidupkanlah pada malam tersebut dengan bertakbir, membaca surah Al-Kahfi dan berselawat kepada Nabi Sallahu Alaihi Wasallam. Oleh yang demikian, jika sekiranya pada tahun ini Hari Raya di negara kita jatuh pada hari jumaat, maka ada baiknya kita menghidupkan malam Hari Raya dengan cara sedemikian.

Manakala pada pagi Hari Raya, terdapat juga beberapa amalan sunat yang perlu dilakukan seperti disunatkan mandi dengan niat kerana kedatangan Aidil Fitri dan bukannya mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri. Disamping itu kita disunatkan memakai bau-bauan yang harum, memakai pakaian yang paling elok kerana Hari Raya merupakan hari untuk berhias-hias. Setelah itu, kita disunatkan juga untuk memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum pergi ke masjid bagi menunaikan sembahyang sunat Hari Raya. Menunaikan sembahyang Hari Raya adalah perkara yang dituntut dalam kita menyambut Hari Raya, sebagaimana hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:

“Dari Abdullah bin Umar : Sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam mengerjakan sembahyang sunat pada Hari Raya Aidil Adha dan pada Hari Raya Aidil Fitri. Kemudian baginda berkhutbah selepas mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya”. (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Inilah keindahan yang ada dalam ajaran agama Islam, yang telah mengariskan adab-adab dalam setiap amal perbuatan umatnya, termasuklah dalam itika menyambut Hari Raya. Tujuannya ialah supaya umat Islam sentiasa berada dilandasan yang betul dan tidak terpesong ataupun terpengaruh dengan adab-adab yang tidak bersesuaian dengan ajaran Islam. Adab menyambut Hari Raya yang telah digariskan oleh agama Islam membuktikan bahawa Hari Raya bagi orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan perayaan bagi bukan Islam. Apatah lagi Hari Raya Aidil Fitri ini disambut sebaik saja selepas menunaikan ibadah puasa. Selaku umat Islam kita meraikan hari kemenangan kita bukan setakat untuk bergembira sahaja, tetapi juga untuk menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata�ala di atas segala limpah kurnia dan nikmat yang telah diberikan kepada hamba-hamba-Nya.

Kedatangan Ramadhan hanya setahun sekali, dan belum tentu kita akan dapat bertemu kembali dengan Ramadhan yang akan datang. Oleh itu dengan beradanya kita di penghujung bulan Ramadhan ini, sama-samalah kita merebut peluang ini sebanyak-banyaknya dengan meningkatkan amal ibadah serta iman dan takwa kita Allah Subhanahu Wata’ala. Selain itu janganlah kita lupa akan kewajipan zakat fitrah yang wajib dikeluarkan oleh setiap umat Islam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s