Konsep Hijrah pada masa kini

Posted: November 15, 2012 in Artikal, Tazkirah
Tags: ,

hijrah 1434

HIJRAH merupakan peristiwa penting dalam sejarah perkembangan Islam. Sesungguhnya hijrah baginda Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat adalah satu peristiwa sejarah yang amat penting dalam perkembangan dan penyebaran Islam di pelusuk dunia.
Hijrah dari segi bahasa berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Hijrah juga bermakna berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan. Ini bermakna hijrah bererti berpindah atau berubah. Oleh kerana itu, hijrah adalah suatu proses perubahan ke arah yang lebih baik, menuju keindahan, ataupun meninggalkan sesuatu hal yang tidak baik dan segera melakukan hal lain yang lebih mulia.

Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyatakan bahawasanya tiada lagi hijrah setelah penaklukan Mekah sebagaimana hadits daripada Aishah Radhiallahuanha berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya:

“Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekah,) tetapi jihad dan niat (yang baik.) Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah.”

Berdasarkan hadis di atas, tidak dapat dinafikan lagi bahawa dalam konteks hari ini tiada lagi corak penghijrahan seumpama yang dilalui oleh Rasullullah dan para sahabat. Islam kini tidak lagi menuntut umatnya supaya berhijrah secara hissiyah ataupun dalam kata lain perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain sepertimana yang dilakukan Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersama para sahabat lebih 1,400 tahun yang lalu. Ini bukanlah suatu kemestian lagi pada zaman ini kecuali apabila negeri yang kita diami tidak lagi aman dan tidak memberikan kebebasan kepada kita untuk mengabdi diri kepada Allah SubhanahuWata’ala. Lalu bagaimanakah cara kita agar boleh memperoleh pahala dan kedudukan hijrah dalam zaman global ini?

Peristiwa Hijrah bukan sahaja meninggalkan sejarah untuk dikenang dan dirayakan, malah membawa iktibar dan pengajaran yang cukup bermakna dalam arus cabaran kehidupan masa kini. Dari hadis tadi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memperluaskan maksud dan konsep hijrah dengan menyatakan niat dan kesediaan berjihad untuk Islam juga dianggap sebagai salah satu cabang hijrah. Apa yang tinggal bagi umat muslimin pada zaman ini adalah jalan untuk memperoleh fadhilat-fadhilat hijrah tersebut iaitu dengan jihad dan niat yang soleh dan baik pada setiap perkara.

Para Muslimin dewasa ini juga mampu memperolehi darjat dan kedudukan hijrah yang sama dengan melakukan hijrah ma’nawiyyah. Walaupun hijrah ini berbeza daripada hijrah Rasul akan tetapi prinsipnya tetap memiliki persamaan. Penghijrahan baginda Rasul Shallallahu ‘alaihi wassalam itu sendiri adalah awal dari tekad perubahan. Hijrah itu bukan sahaja perpindahan tempat namun ianya lebih penting kerana hijrah ini adalah perpindahan karakter daripada sifat-sifat yang buruk menuju kepada sifat-sifat yang lebih baik dan nilai-nilai Islamiah sama ada dalam aspek aqidah, ibadah, akhlak, pemikiran, pergaulan, cara hidup dan aspek-aspek yang lain. Penghijrahan itu memberi ruang yang lebih luas merangkumi kepada pelaksanaan ajaran Islam yang menyeluruh baik dari aspek aqidah, syariat dan akhlak serta kaitannya kepada hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan alam sekitar.

Jika hari ini akhlak, ibadah dan iman kita meningkat dan lebih baik daripada hari-hari kemarin, kita sudah dikatakan melakukan hijrah. Oleh kerana itu hakikat hijrah yang sebenarnya adalah apa yang disebut dengan hijrah ma’nawiyyah, iaitu hijrah dalam erti meninggalkan segala bentuk yang tidak dibenarkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

“Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan sesuatu yang dilarang Allah.” – (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim).

Jadi sesiapapun yang menjauhi setiap larangan Allah dan mengerjakan segala perintah-Nya, mereka akan memperoleh darjat yang sama dengan darjat orang yang berhijrah. Hijrah ini adalah wajib hukumnya bagi setiap diri yang mengaku Muslim. Tidak hanya itu, hijrah juga adalah bukti kesungguhan dan keteguhan iman daripada seorang mukmin sejati kepada Khaliqnya.

Maka konsep hijrah itu tidaklah terikat oleh ruang dan waktu. Hijrah itu sifatnya berterusan dan istiqamah (konsisten) menerusi usaha membersihkan sifat mazmumah (keji) dan melazimkan diri dengan sifat mahmudah (terpuji) serta meningkatkan jati diri sepertimana hadits Rasullullah yang bermaksud:

“Hijrah tidak akan terhenti sehingga ruang taubat terhenti dan taubat tidak akan terhenti sehinggalah matahari terbit dari barat.”

Dalam konteks ini, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri serta kehidupan. Jika usaha ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan memberikan impak positif, ia memberi gambaran bahawa pengertian hijrah berjaya dihayati dalam kehidupan seharian. Ia merupakan aspek penting yang perlu ditekankan bagi menggapai kemajuan mengikut acuan berlandaskan syariat Islam. Muslim yang mendapatkan kemuliaan serta kemenangan hakiki adalah seorang Muslim yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah sepertimana hal yang ditegaskan oleh Allah dalam Surah At Taubah ayat 20 yang tafsir-Nya :

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.”

Oleh itu, hijrah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang lalu dapat digunakan untuk memimpin generasi manusia pada masa ini dan masa akan datang supaya tidak lari lebih jauh daripada ajaran-ajaran Islam yang sebenar serta seimbang dengan kemodenan cara hidup yang sedia ada. Pengisian hijrah ke arah kehidupan yang lebih Islamik sekali gus akan merubah konsepsi masyarakat bukan Islam tentang cara hidup Islam yang sebenar yang berlandaskan syara’ dan apa yang penting, kita hendaklah mengambil semangat hijrah itu untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian.

Justeru itu, kedatangan tahun baru hijrah bererti usia kita juga semakin meningkat dan ia juga merupakan peringatan agar kita sentiasa berubah ke arah kebaikan. Namun demikian, konsep hijrah tetap berterusan dalam kalangan umat Islam dan ia tidak bermakna perubahan itu berlaku hanya ketika perubahan tahun baru hijrah. Ia tidak hanya statik kepada penghijrahan dari satu tempat ke destinasi yang lain sahaja bahkan ia mempunyai pengertian yang lebih luas dan menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s