Archive for August, 2012

Dipenghujung Ramadhan

Posted: August 17, 2012 in Tazkirah
Tags: ,

Hari ini merupakan jumaat yang terakhir bagi bulan Ramadhan pada tahun ini 1433H/2012M, ini bermakna hanya tinggal 2 atau 3 hari lagi kita akan meninggalkan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan. Sementara kita masih lagi berada di dalam bulan ini marilah kita merebut peluang yang masih ada dengan mempertingkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala antaranya dengan melipatgandakan amalan membaca Al-Qur’an walaupun mungkin ada di antara kita yang telah pun khatam membacanya pada bulan ini, kita juga hendaklah tidak meninggalkan sembahyang sunat terawih kerana sembahyang sunat yang istimewa ini hanya dapat dikerjakan dalam bulan Ramadhan. Marilah kita juga memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain seperti sembahyang-sembahyang sunat, Qiamulail, zikir dan doa-doa, lebih-lebih lagi pada masa ini kita masih berkesempatan untuk merebut peluang bagi mendapatkan kelebihan Lailatul Qadar.

Dengan berakhirnya Ramadhan yang mulia ini, ini bermakna umat Islam akan meraikan kedatangan bulan Syawal iaitu Hari Raya AidilFitri. Tentunya kita selaku umat Islam merasa gembira menyambut kedatangannya. Pada masa ini tidak dapat dinafikan sebahagian besar di antara kita pasti sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidil Fitri. Apa yang perlu diingat kita hendaklah sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam persiapan menyambut Hari Raya, tidak berlebih-lebihan atau bertujuan untuk bermegah-megah sehingga membawa kepada sifat ria’. Oleh itu amalkanlah sifat berjimat cermat dalam berbelanja dan elakkanlah pembaziran. Allah Subhanahu Wata’ala mengingatkan bahawa orang-orang yang membazir itu adalah bersaudara dengan syaitan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Israa’ ayat 26-27 tafsirnya:

“Dan berikanlah kepada kerabat-kerabatmu dan orang-orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan pula adalah mahluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya”.

Sebenarnya tujuan kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri adalah untuk meraikan kejayaan kita yang telah berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan. Dalam hal ini Islam mengariskan panduan tentang cara kita meraikan Hari Raya agar semua yang kita disunatkan menghidupkannya dengan memuji kebesaran Allah Subhanahu Wata�ala dengan melaungkan kalimah-kalimah takbir, tahmid, tasbih dan sebagainya.

Pada setiap kali tibanya malam raya, seruan takbir akan berkumandang di masjid-masjid, rumah-rumah persendirian, di corong-corong radio dan juga kaca televisyen. Dengan bergemanya takbir itu, maka terasalah kemeriahan suasana Hari Raya. Inilah cara sambutan Hari Raya yang sebenar dan menepati ajaran Islam, iaitu bagi melahirkan rasa kesyukuran atas kebesaran serta keagungan Allah Subhanahu Wata’ala, sesuatu dengan maksud takbir iaitu membesarkan dan mengagungkan Allah Subhanahu Wata’ala.

Takbir pada Hari Raya Aidil Fitri dinamakan takbir Mursal atau Mutlak iaitu takbir yang tidak terikat waktunya selepas mengerjakan sembahyang. Takbir Hari Raya Aidil Fitri sunat dilaungkan pada bila-bila masa sahaja sebagaimana menurut Imam Ibni Hurairah Radiallah ia berkata: Sunat melaungkan takbir Hari Raya Aidil Fitri samada di rumah-rumah, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di pasar-pasar dengan suara jahar iaitu suara yang jelas dan nyaring, bermula dari terbenam matahari pada malam Hari Raya dan berterusan sehingga Imam mengangkat takbiratulikhram pada sembahyang Hari Raya. Ini kerana takbir adalah sebagai syiar bagi menandakan waktu Aidil Fitri itu tiba, maka adalah lebih utama Aidil Fitri itu disambut dengan takbir.

Menurut Assyabara Malisi Rahmatullah, apabila bertepatan malam Hari Raya itu dengan malam jumaat, maka hidupkanlah pada malam tersebut dengan bertakbir, membaca surah Al-Kahfi dan berselawat kepada Nabi Sallahu Alaihi Wasallam. Oleh yang demikian, jika sekiranya pada tahun ini Hari Raya di negara kita jatuh pada hari jumaat, maka ada baiknya kita menghidupkan malam Hari Raya dengan cara sedemikian.

Manakala pada pagi Hari Raya, terdapat juga beberapa amalan sunat yang perlu dilakukan seperti disunatkan mandi dengan niat kerana kedatangan Aidil Fitri dan bukannya mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri. Disamping itu kita disunatkan memakai bau-bauan yang harum, memakai pakaian yang paling elok kerana Hari Raya merupakan hari untuk berhias-hias. Setelah itu, kita disunatkan juga untuk memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum pergi ke masjid bagi menunaikan sembahyang sunat Hari Raya. Menunaikan sembahyang Hari Raya adalah perkara yang dituntut dalam kita menyambut Hari Raya, sebagaimana hadith Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam maksudnya:

“Dari Abdullah bin Umar : Sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam mengerjakan sembahyang sunat pada Hari Raya Aidil Adha dan pada Hari Raya Aidil Fitri. Kemudian baginda berkhutbah selepas mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya”. (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Inilah keindahan yang ada dalam ajaran agama Islam, yang telah mengariskan adab-adab dalam setiap amal perbuatan umatnya, termasuklah dalam itika menyambut Hari Raya. Tujuannya ialah supaya umat Islam sentiasa berada dilandasan yang betul dan tidak terpesong ataupun terpengaruh dengan adab-adab yang tidak bersesuaian dengan ajaran Islam. Adab menyambut Hari Raya yang telah digariskan oleh agama Islam membuktikan bahawa Hari Raya bagi orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan perayaan bagi bukan Islam. Apatah lagi Hari Raya Aidil Fitri ini disambut sebaik saja selepas menunaikan ibadah puasa. Selaku umat Islam kita meraikan hari kemenangan kita bukan setakat untuk bergembira sahaja, tetapi juga untuk menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata�ala di atas segala limpah kurnia dan nikmat yang telah diberikan kepada hamba-hamba-Nya.

Kedatangan Ramadhan hanya setahun sekali, dan belum tentu kita akan dapat bertemu kembali dengan Ramadhan yang akan datang. Oleh itu dengan beradanya kita di penghujung bulan Ramadhan ini, sama-samalah kita merebut peluang ini sebanyak-banyaknya dengan meningkatkan amal ibadah serta iman dan takwa kita Allah Subhanahu Wata’ala. Selain itu janganlah kita lupa akan kewajipan zakat fitrah yang wajib dikeluarkan oleh setiap umat Islam.

Malam Lailatulqadar adalah anugerah Allah Subhanahu Wata’ala untuk umat Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wasallam yang berlaku setiap kali bulan Ramadan sepanjang tahun sampai Hari Kiamat. Lailatulqadar merupakan satu malam yang teristimewa yang mengandungi peristiwa penting bagi kemuliaan insan, malam yang penuh kelebihan dan keutamaan yang mana barang siapa beribadat pada malam itu, maka dilipat gandakan pahalanya lebih daripada beribadat seribu bulan.

Firman Allah SubhanahuWata’ala dalam Surah Al Qadr yang tafsirnya:-

“Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan Al-Qur’an pada malam kemuliaan dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?, malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu malam. Pada malam itu diturunkan malaikat- malaikat dan malaikat Jibril dengan izin tuhan-Nya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar.”

Kerana mulianya malam Lailatulqadar, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud:-

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan qiam dengan penuh keimanan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampuni dosanya yang lalu dan sesiapa yang melakukan qiam pada Malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampuni dosa mereka yang lalu.”

Allah Subhanahu Wata’ala tidak menetapkan bilakah malam Lailatulqadar itu kecuali dijelaskan ia adalah salah satu malam pada bulan Ramadan. Lailatulqadar malam misteri yang perlu dicari. Sesuatu yang istimewa tidak diberikan dengan mudah, melainkan sesiapa yang berusaha mendapatkannya.

Walaupun tidak dijelaskan bilakah malam Lailatulqadar, kebanyakan para ulama sepakat mengatakan bahawa ia berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Pendapat ini berdasarkan kepada petunjuk apa yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan juga beberapa hadis mengenai Lailatulqadar. Rasullulah Sallallahu Alaihi Wasallam diceritakan lebih tekun beribadat pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Mengikut hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada ‘Aisyah Radiallahu‘anha yang bermaksud:-

“Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam apabila masuk sepuluh malam terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan beribadat), mengejutkan ahli keluarga Baginda (bangun beribadat), bersungguh-sungguh dalam ibadat dan uzlah (tidak mencampuri) isteri-isteri baginda.”

Sepuluh malam terakhir di Ramadan merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukminin. Orang yang beribadah pada sepuluh malam terakhir akan mendapat rahmat yang dijanjikan dan telah sabit di dalam hadis-hadis yang sahih bahawa malam Lailatulqadar wujud pada salah satu malam yang sepuluh itu terutama pada malam-malam yang ganjil sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud:-

“Carilah Lailatulqadar di malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.”

Dalam pada itu, terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa Malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada malam 21 Ramadan dan pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadan terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadan.

Namun pendapat yang paling kuat dari pelbagai pendapat yang ada sebagaimana dikatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari bahawa Lailatulqadar itu terjadi pada malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir dan waktunya berpindah-pindah dari setahun ke setahun. Mungkin pada tahun tertentu terjadi pada malam Ke-27 dan mungkin juga pada tahun yang berikutnya terjadi pada malam kedua puluh lima tergantung kehendak dan hikmah Allah Subhanahu Wata’ala. Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud:-

“Carilah Lailatulqadar di sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan pada sembilan, tujuh dan lima malam yang tersisa.”

Hikmah Allah menyembunyikan Malam Lailatulqadar (tidak ditentukan malamnya secara khusus) ialah supaya kita dapat menghidupkan semua malam di bulan Ramadan yang mubarak itu dengan berusaha mencarinya, meningkatkan amal ibadat setiap malam. Barang siapa sahaja di antara kamu yang beruntung dan tepat beribadat pada malam-malam yang penuh keberkatan itu, maka dialah yang mendapat keuntungan yang sangat besar dan bertuah sekali.

Oleh sebab keistimewaan dan keagungan malam Lailatulqadar itu amat tinggi, maka marilah kita mengambil kesempatan berusaha menghidupkan malam Ramadan dengan melakukan amal ibadat pada malam-malam Ramadan ini dengan sebaik mungkin seperti beriktiqaf di masjid, sembahyang berjemaah dan seterusnya bersembahyang Tarawih dan Witir, memperbanyakkan membaca Al-Qur’an dan bertadarus beramai-ramai, memperbanyakkan doa dan beristighfar memohon keampunan kepada Allah SubhanahuWata’ala, memperbanyakkan sembahyang sunat seperti sembahyang Tahajud, Tasbih, Taubat dan lain-lain. Mudah-mudahan dengan kesungguhan dan keikhlasan kita berpuasa, bersembahyang, mengamalkan membaca Al-Qur’an dan kesungguhan mencari Malam Lailatulqadar ini akan membersihkan kita dari dosa-dosa dan diangkat darjat kita kepada darjat orang-orang yang muqarrabin.

Inilah keagungan bulan Ramadan sebagai bulan rahmat dan bulan keampunan yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala bagi orang yang ikhlas beramal kerana Allah. Janganlah kita melepaskan peluang keemasan ini disebabkan kesibukan yang tiada menentu kerana kita tidak tahu sama ada kita akan berjumpa lagi dengan Ramadan yang akan datang.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 5 Ogos. – Mulai dari tahun 1433 Hijriah ini cuti awam bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri telah diperkenankan untuk dilanjutkan dari dua hari seperti yang berjalan selama ini kepada tiga hari.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenankan perkara tersebut semasa bertitah dalam Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Tahun 1433 Hijriah / 2012 Masihi berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Baginda berharap dengan tambahan cuti tersebut umat Islam di negara ini pada khususnya akan lebih banyak peluang untuk bersama-sama dengan keluarga masing-masing bagi menikmati kehidupan berkeluarga yang sebenar-benarnya sambil cuti itu juga akan menambahkan lagi peluang untuk setiap keluarga dapat melakukan pelbagai aktiviti secara bersama-sama.

RAMADAN turut disebut sebagai Syahrul Quran kerana padanya diturunkan al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar kepada Rasulullah s.a.w.

Ia berbeza dengan mukjizat Rasulullah yang lain kerana al-Quran tetap kekal dan boleh dilihat ke hari ini. Antara mukjizat al-Quran ialah bahasanya indah dan tinggi, susunan bahasa yang baik, ilmu pengetahuan yang membimbing manusia ke arah kebenaran serta panduan lengkap ke arah kemaslahatan dan kemakmuran alam semesta.

Tiada seorang manusia yang mampu mencipta walaupun satu ayat setanding al-Quran. Bagi mereka yang mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian pasti akan rasa bahagia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Umat Islam perlu berusaha mendalami al-Quran dan jangan sampai mereka menjadi ‘buta’ al-Quran.
 
Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran apabila kalam suci itu mengubah kehidupan umat Arab daripada masyarakat jahiliah kepada umat bertamadun.

Terdapat ramai tokoh hebat pada awalnya menolak Islam, tetapi akhirnya mereka beriman kepada Allah selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.

Keajaiban al-Quran dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab sehingga beliau memeluk Islam. Sebelum Islam, Umar seorang lelaki bengis dan kejam dan pernah berniat membunuh Nabi Muhammad.

Detik perubahan Umar berlaku selepas beliau menghayati beberapa ayat daripada Surah Taha ketika pergi ke rumah adiknya, Fatimah yang ketika itu sedang mempelajari al-Quran.

Agak pelik, kenapa kita begitu sukar untuk membaca al-Quran walaupun hanya sepotong ayat?

Sedangkan bahan bacaan santai lain termasuk novel remaja malah karya agung penulis Barat boleh dibaca dan dihabiskan dalam tempoh singkat?

Al-Quran bukan untuk dijadikan perhiasan di dalam rak kaca di rumah semata-mata tetapi wajib menjadi perhiasan diri setiap Muslim. Jangan hanya tunggu ketika ditimpa penyakit atau ada yang meninggal dunia, baru hendak buka dan baca al-Quran.

Kepentingan mempelajari dan membudayakan al-Quran adalah kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana al-Quran mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia.

Kebenaran yang tidak dapat disangkal, mereka yang membaca al-Quran pastinya terhindar daripada dibelenggu keresahan, kesempitan malah mereka dapat sumber kekuatan dan ketenangan daripadanya.

Semakin banyak membaca dan mendengar al-Quran, jiwa pasti terpikat dan seronok. Rasulullah sendiri menggesa umatnya membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya.

Golongan yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama pada setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Sejarah membuktikan sahabat seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubay bin ka’ab sentiasa membaca al-Quran dan khatam pada setiap Jumaat.

Umat Islam mesti yakin al-Quran mampu menjadi penawar kepada segala jenis penyakit rohani dan jasmani yang melanda masyarakat Islam hari masa kini.

Sempena Ramadan ini, penuhkan waktu yang kosong dengan membaca al-Quran atau belajar daripada mereka yang mahir supaya jiwa tidak kosong.

Al-Quran adalah kalamullah (titah perintah Allah) yang diturunkan kepada Rasulullah secara berperingkat selama 23 tahun.

Wahyu al-Quran pertama yang diturunkan kepada Rasulullah adalah ayat 1-5 surah al-’Alaq. Majoriti ulama berpendapat, penurunan wahyu pertama pada 17 Ramadan, dan tarikh itulah yang dikenali sebagai Nuzul al-Quran (Penurunan al-Quran).

Firman Allah yang bermaksud: “Bulan Ramadan diturunkan padanya al-Quran sebagai huda (petunjuk) bagi manusia dan bayyinah (penjelasan) daripada petunjuk dan furqan (pemisah).” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Apabila tiba tarikh 17 Ramadan, kita bukan sekadar digalakkan memperingati sirah Rasulullah, sebaliknya perlu menghitung diri kerana masih mempunyai tugas besar berkaitan al-Quran.

Al-Quran amat istimewa. Membaca al-Quran juga dikira sebagai ibadah yang pahalanya amat istimewa.

“Sesiapa yang membaca al-Quran, akan dianugerahkan pahala berlipat ganda pada setiap huruf yang dibaca seperti yang dijelaskan Rasulullah dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmizi). 

Apabila banyak mengingati Allah dan membaca al-Quran, hati akan sentiasa tenang, malah dapat membina jati diri yang kental.

“Apabila dapat dilaksanakan, pasti akan mewujudkan masyarakat terbaik. Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah, tenang tenteram hati manusia. Orang beriman dan beramal soleh beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ra’d , ayat 28-29).

Rasulullah berpesan, rumah perlu dihiasi dengan bacaan al-Quran supaya mengundang rahmat, keberkatan dan perlindungan daripada Allah buat seisi keluarga.

Diriwayatkan daripada Anas, dinyatakan Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Seseorang pastinya tidak mampu memahami isi kandungan al-Quran jika mereka tidak boleh membacanya. Membaca al-Quran bukan perkara remeh, ia menggambarkan betapa kita yakin dan beriman dengan kitab suci ini.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang yang telah Kami berikan al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 121).