Archive for September 1, 2012

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 September. – Lembaga Penyiasat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang mengendalikan siasatan ke atas punca nahas kemalangan Helikopter Bell 212 pada 20 Julai lalu telah mendapati bahawa kesilapan manusia (Human Error) serta ‘procedure’ iaitu ‘unauthorised low level flying’ merupakan dua punca utama terjadinya nahas helikopter berkenaan.

Pesawat berkenaan terlibat dalam ‘Controlled Flight into Terrain (CFIT)’ semasa membuat penerbangan ‘unauthorised low level flying’ dan Juruterbang telah melakukan penerbangan yang bertentangan dengan prosedur iaitu ‘unauthorised low level flying’.

Perkara ini dijelaskan oleh Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Awang Haji Abdul Halim bin Haji Mohd. Hanifah selaku Pengerusi Lembaga Penyiasat pada Sidang bersama Media yang berlangsung di Institut Pertahanan dan Pengajian Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Pertahanan di sini.

Menurutnya, Lembaga Penyiasatan secara gambaran terdekat mendapati bahawa sebelum kejadian, Juruterbang telah melakukan ‘unauthorised low level flying’ dengan kelajuan sekitar 60-80 knots di kawasan Wasai Wang Tebadak (LP KB 195A) dan seterusnya telah mengerengkan (banking) pesawat dengan anggaran 45 darjah untuk mengikuti laluan sungai.

Pesawat tambahnya telah tersasar dan terturun dari ketinggian asal disebabkan faktor g-force di mana pesawat merempuh dahan-dahan kayu pokok pertama dan tidak melalui laluan yang dihasratkan setelah di dalam keadaan ‘straight and level’.

Pada saat-saat akhir jelas Pemerintah TLDB, pesawat cuba untuk menaikkan ketinggian tetapi tidak berhasil dan terus merempuh dua pokok besar.

Dalam siasatan tersebut, Lembaga Penyiasatan turut mendapati fakta-fakta berikut:

a. Environment. Cuaca semasa kejadian adalah baik dan tidak menjejaskan operasi penerbangan.

b. Material. Tiada bukti yang menjurus kepada pesawat menghadapi sebarang masalah teknikal sebelum pesawat terhempas. Perkara ini turut disahkan oleh tiga tim penyiasat luar negara yang berasingan.

Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Awang Haji Abdul Halim terdahulu menjelaskan Pesawat Bell 212 milik Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) bersama 14 orang anggota (tiga krew pesawat dan dua Jurulatih, satu kakitangan dan lapan Pegawai Kadet, Sekolah Pegawai Kadet) itu telah terhempas berdekatan dengan Wasai Wang Tebadak, Mukim Labi pada hari Jumaat, 20 Julai 2012 ketika membuat penugasan pengangkutan balik anggota yang telah menjalani latihan ketenteraan dari Tapak Pendaratan KB 404 ke Tapak Pendaratan KB 199 dan dipercayai terhempas kira-kira jam 10.15 pagi.

Menurut laporan siasatan itu, pesawat berlepas dari pangkalan TUDB sekitar jam 8.55 pagi dan perhubungan radio terakhir pesawat dengan Brunei Radar ialah pada jam 9.17 pagi.

Mengikut prosedur penerbangan Kawalan Lalu Lintas Udara, Jabatan Penerbangan Awam jelasnya, setiap pesawat yang beroperasi di ruang udara negara adalah dikehendaki membuat perhubungan ‘ops normal call’ setiap 30 minit.

Akan tetapi tambahnya tidak ada sebarang perhubungan yang di buat selepas itu dan pihak Kawalan Lalu Lintas Udara, Jabatan Penerbangan Awam tidak melakukan tindakan ‘INCERFA’ (uncertainty phase) dan memaklumkan kepada pihak ABDB untuk melaksanakan ‘distress procedure’.

“Ini berlarutan sehingga beberapa jam kemudian mengakibatkan tindakan ‘alerting service’ tidak dilaksanakan mengikut prosedur,” jelas Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Awang Haji Abdul Halim.

Operasi Mencari dan Menyelamat ujarnya hanya dimulakan sejurus pesawat tersebut disahkan hilang oleh pihak TUDB kira-kira jam 1.53 petang. Serpihan pesawat ditemui di kawasan berdekatan Wasai Wang Tebadak kira-kira jam 3.55 petang.

Kementerian Pertahanan dan ABDB dalam hubungan ini telah menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan Tertinggi pada 25 Julai 2012 yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penyiasatan ke atas pesawat yang terhempas dan mencari punca serta fakta-fakta yang berhubungkait dengan kemalangan tersebut serta membuat saranan-saranan yang perlu diambil agar kemalangan seumpama ini tidak berulang lagi.

Lembaga Penyiasatan ini juga dibantu oleh beberapa buah organisasi pakar penyiasatan pesawat dari luar negeri iaitu Pratt and Whitney Canada dan Bell Textron United States dan United States Army Combat Readiness Center – Air Accident Investigation Team.

Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Awang Haji Abdul Halim juga menjelaskan, beberapa saranan tegas telah diajukan dalam laporan awal pertama pada 6 Ogos 2012 dan beberapa tindakan khususnya dalam menguatkan lagi proses dan prosedur serta aspek keselamatan telah diambil.

Laporan lengkap ujarnya akan dihadapkan pada 16 September 2012, termasuk saranan-saranan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi.

Juga hadir pada Sidang Media tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta pegawai-pegawai kanan ABDB.